OLEH FAISAL TEHRANI
ROBANI datang awal dari biasa.
Enta sedang menatap buku Sinkretisme Jawa-Islam oleh Suripan Sadi Hutomo. Dia, Robani duduk bersila di hadapan enta. Matanya bercahaya, dia sedikit berkerut kemudian dengan senyum lazim bertanya, “Ada banyak sejarah yang boleh abang nukilkan. Tetapi kenapa sejarah kemangkatan Sultan Alauddin yang abang bangkitkan?”
Auditorium Jabatan Pengajian Media tempat berkampung untuk latihan teater Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun masih lengang. Emad yang berjanji untuk tiba awal juga masih terperangkap dalam kemacetan lalu lintas di Jalan Ipoh. Robani yang akan melakonkan watak Sultan Alauddin wajar memahami teks drama sefaham-fahamnya. Enta harus berjujur menghuraikan supaya dia dapat memahami watak yang diperankan. Enta tidak dapat lagi memperlekehkan Robani, kerana ternyata dia cerdas juga. Setiap hari dia menggali makna baharu.
Enta menggetap bibir, menggenyeh hidung, dan kemudian membalas senyuman penuh makna. Enta menimbang-nimbang jawapan yang munasabah. Dalam benak enta ada hujah-hujah Umar Junus dalam buku karangannya; Fiksyen dan Sejarah Suatu Dialog, bahawa sejarah yang sering diungkap di dalam fiksyen ialah sejarah berhubung dengan perebutan kekuasaan, siapa memerintah pada satu-satu masa, dan bagaimana pula corak pemerintahannya. Ini bererti, pengarang yang menggunakan bahan sejarah dalam drama politik cenderung menfiksikan sejarah politik bangsa, dan negara mereka. Enta juga tahu Umar Junus menggariskan tiga strategi dalam menfiksyenkan sejarah, jadi enta bersuara, menjawab dengan yakin, “Ada tiga strategi dalam menulis sejarah. Pertama, menukar nama tokoh dan peristiwa sejarah dengan nama dan peristiwa lain. Ini bermakna, individu sebenar, dan penting dalam mencorak sejarah ditukar. Nama dan peristiwa yang berlaku diubah, ini bertujuan supaya tidak terlalu kelihatan merujuk kepada tokoh dan kejadian yang dimaksudkan. Ini terpancar pada lapis pertama teks.”
Robani mengangguk. Tanda memahami. Enta menyambung lagi, “Strategi kedua ialah menceritakan sesuatu secara fiktif. Dalam hal ini, pengarang menggambarkan peristiwa sejarah secara fiktif tetapi tidak lari daripada apa yang dimaklumi dalam sejarah. Keperibadian Sultan Alauddin misalnya diketahui umum. Kerakusan golongan Melayu-Tamil juga diketahui umum. Tokoh dan peristiwa tidak diubah, cuma diceritakan semula berdasar imaginasi novelis. Pengarang mungkin menggambarkan perasaan tokoh sejarah itu misalnya. Ini saya perlihatkan pada babak akhir drama ini nanti.”
Enta menelan liur, memandang Robani semacam ingin merasa detak hatinya; samada ia mengerti atau melencong.
Robani tersenyum lagi.
“Strategi ketiga, memasukkan tokoh fiktif ke dalam sejarah. Menerusi strategi ini, watak yang diwujudkan oleh pengarang berinteraksi dengan watak yang benar-benar wujud dalam sejarah lalu digambarkan mempunyai hubungan demi menggambarkan sejarah yang sebenar.”
Robani mencapai sebatang rokok Marlboro. Enta bingkas, gesit merampas rokok yang hampir terkepit di celah ulas bibir. “Eh Amerika, jangan merokok dengan saya.”
Robani tergamam, dan tersengih. Matanya bulat tanda bosan, tetapi benaknya mungkin ligat mencerna kata-kata enta sebentar tadi. Enta menyandar pada kerusi. Robani mengerlipkan mata. Enta ingin memahamkan protagonis drama ini bahawa bahan sejarah tidak dimuatkan begitu sahaja dalam sesebuah drama tanpa dipersoalkan kembali. Enta teringat Shahnon Ahmad dalam membincangkan novel Anugerah karya Zaharah Nawawi di Dewan Sastera Oktober 1997 pernah menyebut yang fiksi sejarah “bukan hanya merakam fakta-fakta sejarah yang diperoleh dari kajian tanpa mempersoal dan menilaikan kembali sejarah itu saja. Ia lebih rumit dan lebih canggih dari itu lagi.”
Sejarah politik
Ini bermakna kehadiran unsur sejarah, di sini sejarah politik, perlu ditanyakan semula dengan menilai, menafsir dan jika perlu merombaknya kembali. Dramatis wajar menyarankan sesuatu dari peristiwa sejarah itu, iaitu bagaimana manusia atau watak terbentuk dari peristiwa yang ada; apakah pengajaran untuk manusia yang boleh didapati dari sejarah tersebut, dan bagaimana kemanusiaan tetap menjadi keutamaan ketika menulis sejarah dalam fiksyen.
Dalam hal ini enta tahu, enta menyuguhkan sejarah pembunuhan Sultan Alauddin Riayat Syah kerana ingin menyedarkan khalayak bahawa kuasa politik liberal, seliberal Tun Senaja yang berkonspirasi bersama Dato Temenggung Sri Maharaja telah membawa kepada Sultan Mahmud naik takhta. Sultan Mahmud tidak dapat diperkirakan lagi adalah suara liberal-pragmatik yang membuka pasar Melaka seluas-luasnya sehingga memberi jalan kemasukan Ruy de Araujo yang kelak membawa kepada penjajahan Portugis. Tentu, enta mahu supaya penonton menangkap makna bahawa politikus dan tokoh yang berpura-pura alim serta ingin menegakkan masyarakat madani dapat sahaja menjadi seekor haiwan rakus yang buas seperti Tun Senaja. Itu terpancar tatkala Tun Senaja meracun baginda sultan yang terlihat ikhlas ingin menegakkan agama di Melaka dan empayarnya. Musuh gerakan Islam dapat berada sangat hampir, malah sebantal.
Fikiran enta melayang sejenak.
“Tapi kata abang tadi drama ini ada tiga lapis, ada subteks. Ia disembunyikan di sana sini? Apa yang perlu kami fahami sebagai pelakon, sebagai pelaku, sebagai pembawa mesej drama…” Robani semacam mencabar enta. Selaku pengarang teks memang enta mesti menjelaskan kepadanya. Memang dia perlu tahu.
Enta menghela nafas. Mendekati Robani. “Dalam drama kita namakan ia pendekatan praxis. Ia dikemukakan awalnya oleh filsuf Jerman, Ludwig Wittgenstein dalam Remarks on Colour. Menurut beliau yang dimaksudkan dengan pendekatan ini ialah practices which give words their meaning. Menerusi pendekatan praxis seseorang dramaturgis dapat melihat sekurang-kurangnya tiga kemungkinan makna yang terpapar pada naratif mahupun bentuk persembahan sesuatu pementasan. Tiga aspek tersebut ialah pertama, penggalian idea yang menghantar makna. Makna dihantar dengan perkataan. Pendekatan praxis membolehkan dramaturgis menilai apa yang tersembunyi di sebalik dialog dan naratif, malah makna di sebalik warna busana, topeng, lagu dan aksi pelakon.”
Enta menimbang kata. Enta sedar yang David Birch dalam The Language of Drama misalnya mengatakan, pendekatan praxis akan membolehkan pengkritik mendekati sesuatu persembahan bila apa yang tidak diucapkan langsung oleh karakter menjadi satu mesej yang lantang, not on something that has actually been said, but on something that remains unsaid.
Robani kelihatan mendengar dengan penuh minat. “Drama ini sangat kritikal bang. Kita mengkritik amalan politik mutakhir ini, kita sifatkan mereka macam kawanan anjing menghurung bangkai.”
Enta ketawa. Lucu mendengar analogi sebernas itu daripada Robani. “Betul. Praxis adalah satu kegiatan manusia untuk berdepan dengan penindasan secara institusi dan peminggiran (entfremdung), justeru ia harus menjadi sebuah medan radikal dan berkesan untuk menarik perhatian semula massa terhadap makna yang ingin disampaikan. Dalam hal ini, pementasan kita menjadi medan kritis. Kita orang biasa sudah tertindas dengan tingkah laku politikus durian yang menggelek kita sebagai timun.”
Robani mengangguk. Semacam puas.
Yang enta tidak maklumkan pendekatan praxis juga dapat digunakan untuk menilai bukan sahaja makna pada kata-kata, tetapi makna menerusi pakaian, simbol, warna busana dan props, ekspresi wajah, kualiti suara, nada nyanyian, rentak muzik dan tempat persembahan iaitu tempat yang bukan dikaitkan dengan seni eksklusif.
Pengurus pentas, Diwan, muncul entah dari mana. Nyata Diwan sudah hadir agak lama dan memasang telinga. Mungkin Diwan duduk di belakang auditorium dan menghadam perbincangan dalam senyap.
“Praxis dan politik?” Tanya Diwan, menuruni tangga dewan kuliah utama dan menghampiri.
Robani menyahut, “Heh kau menghendap ya?”
Enta memandang mata merah Diwan, semacam tidak cukup tidur. Kemudian enta juga menyambut, “Ya ini praxis dan politik.”
Enta memanggil semula inti kajian Aryeh Botwinick dalam Skepticism and Political Participation yang menyebutkan bahawa praxis dapat juga digunakan dalam politik. Ia digunakan oleh ahli politik licik untuk menelan ahli politik yang lecak.
Justeru, praxis dimanfaatkan untuk kebaikan, juga untuk keburukan.
Asal politik itu jalan yang lurus, dengan praxis ia menjadi jalan yang bersimpang siur dan bengkok di sana sini penuh liku. Kita sebagai pengekor boleh sahaja kesasar ke kafilah yang salah lalu masuk jalan yang tidak lagi lurus.
Enta mengiyakan Diwan, menyuarakan, “Sungguh, praxis adalah satu pendekatan seni. Dan jangan lupa, politik itu jugakan seni. Ia seni serba mungkin. Seni yang memungkinkan etika menjadi budu Kelantan. Seni yang memungkinkan noda menjadi sesuatu yang suci. Sebagai contoh seni yang memungkinkan orang melompat parti, lantas diberi alasan moral yang kuat untuk itu.”
Diwan meletakkan beberapa props yang bakal digunakan. Robani yang merasakan sudah dapat memanfaatkan perbincangan keluar dewan untuk merokok. Tinggal enta dan Diwan merenung-renung praxis dan politik. Enta melanjutkan, “Ahli teori tradisi praxis seperti James Farganis, menekankan how humans are versatile in different situations, and how humans can change forms of action quickly and unpredictably. Justeru, kata Farganis dalam Readings in Social Theory: The Classic Tradition to Post-Modernism, tidak syak lagi ada individu yang dapat menyembunyikan kepentingan diri dengan alasan kepentingan besar (seperti kononnya melakukan sesuatu untuk negara dan kelompok marhaen) kerana praxis mengajarkan calculating and orienting action dapat dijadikan agenda own self-interest who seem to be the least human. Apa yang menyebabkan rakyat bawahan begitu resah dan terganggu sangat relevan dengan bentuk pendekatan praxis dalam drama. Itulah yang dipinjam oleh iklim politik sekarang. Ada body gesture, ada permainan helah, ada sub-teks, dan kata-kata ucapan yang tidak boleh dipercayai. Ada pujuk, hasut dan nasihat yang menyalakan api sehingga rakyat hilang tumpuan dan terlupa ada musuh sedang meliwat dari belakang.”
Diwan diam. Agaknya dalam benak bergemaan ‘praxis juga digunakan oleh ahli politik licik untuk menelan ahli politik yang lecak.’
Enta membalas renungan Diwan, seorang pelajar pengajian antarabangsa, maka wajar enta menjaring minatnya dengan isu global juga. Enta bersuara, “Dalam konteks internasional lihat sahaja permainan Zionis Israel yang berpura-pura mereka menjadi mangsa, sambil menyalahkan Hamas ketika membantai orang awam Palestin pada Muharam lalu. Ini semua pementasan, dengan pendekatan praxis pemainnya termasuk Amerika selaku syaitan besar.”
Diwan tiba-tiba bersemangat, “Jumaat depan ada demo bang, bawa kasut dan selipar terpakai; dan kita lontarkan macam orang pergi melempar syaitan di jamarat.”
Diam semua. Hanya penghawa dingin menderu. Sesekali batuk Robani di luar menyelinap.
Enta mengeluh, lebih bersuara untuk diri sendiri, “Sejarah, kalau kita cuai dengan sejarah kita ditipu pendekatan musuh begini. Melihat semula sejarah Islam, kalaulah Gaza itu Karbala; andaikan Zionis dan Amerika itu tukang sembelih Saidina Husin, Mesir itulah ahli Kufah yang bersekongkol dengan musuh dalam membantai manusia tidak berdaya. Terlalu ramai bermuka-muka. Di sini pun ada talam seribu muka. Orang lupa kepada Annapolis Summit. Itu kerja setan besar untuk mengerat Palestina. Heh, ada dalam kalangan kita yang menyetujuinya. Jangan tak tahu, ada pemain politik praxis tempatan yang menyokong pelan two state solution untuk memecah perintah Palestin. Tapi bila ditanyai kawan dari parti Islam, dia menafikan. Kaki kencing! Depan lain belakang buat lain. Itu praxis. Dengan praxis dia memutar belit fakta konon dialah mangsa, dan menyamakan dirinya sebagai Hamas yang diasak Zionis.”
Diwan menambah, “Kena kencing kerana tak tahu jalan yang mana lurus bang.”
Enta angguk. Sebagai seniman melihat masyarakat ditipu tokoh politik praxis bermuka-muka, amat merunsingkan enta.
Bangun melawan
“Kalaulah Gaza itu Karbala, tentu orang Palestin itu bangun melawan. Tak melawan pun kelak mati dibom, lebih baik mati melawan. Apa yang orang Palestina tunggu?” Diwan menceceh.
Enta menatap mata Diwan. Matanya cantik. “Seperti kata saya kepada Robani sebelum ketibaan Wan, sejarah harus dipersoal kembali. Mungkin sejarah Islam kita kutip hari ini adalah versi propaganda. Kalau mereka fahami makna asyura tentu mereka bangkit dan tidak membiarkan Hamas dan Hezbullah saja.”
Imej anak-anak Gaza mati tersepit di celah runtuhan bangunan dibom Israel menyucuk retina mata.
“Jadi, bang ke mana hala kita?” Diwan mahu memecah kebuntuan.
Dari sejarah, dari praxis, kini wacana mereka merebak-biak. Dalam benak mengulang ayat al-Quran ‘ihdina shiratal mustaqim’, satu doa Ya Ilahi tunjukkan jalan yang lurus. Di mana jalan lurus? Apa jalan lurus itu? Supaya ditipu berkali-kali oleh pementasan manusia batil pencinta dunia. Duhai, tidakkah tahu makna jalan lurus tersebut terpendam jawapannya saat kita melafazkan selawat ‘Allahhuma sholli ala Muhammad wa ali Muhammad’ iaitu Allah berselawat ke atas Muhammad dan ahli keluarga Muhammad. Hayati makna selawat dalam solat. Mengapakah kita masih mengetuk pintu yang salah dalam mencari jalan lurus sedang jawapannya sudah ada iaitu jalan Muhammad dan ahli keluarganya. Ribuan tahun muslimin dipesongkan praxis gagal menemui makna.
Enta ingin menjelaskan begitu kepada Diwan, tetapi menelan fikiran tersebut sebaliknya bersuara, “Kerana itulah kita pentaskan Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun. Mengajak orang merenung sejarah. Betapa ia dapat dicabuli fiksi. Atau sejarah itu sendiri menjadi fiksi. Politik tersembunyi sedang memperkosa kita orang biasa. Bukan sejarah Melayu di Melaka sahaja disembunyi, tetapi sejarah kita umat Islam juga.” Enta kelelahan.
Diwan menarik nafas berat. “Macam Da Vinci Code. Perlumbaan membongkar makna…”.
Emad tiba. Dr Abu Hassan Hasbullah, pengarah pementasan juga tiba. Latihan akan bermula. Robani kembali.
Praxis politik penuh helah sudah bermula lama. Renung sahaja sejarah Karbala persamaannya dengan peristiwa semasa di Palestin, dan iklim siasah tanah air. Tiba-tiba semua itu bergomol ribut. Politikus munafik sedang bermaharajalela, dan betapa ramai yang terhijab tidak nampak.
Jalan lurus. Dapatkah kita orang kecil sebagai penonton menangkap makna. Sehingga menjadi jelas jalan yang mana lurus, dan jalan yang mana adalah bersalut kemunafikan.
Memanfaat atau ditipu pendekatan praxis kita ini?








